Universiti sepatutnya dihormati sebagai rakan intelektual dalam pembangunan negara dan tidak sesekali diheret ke dalam polemik politik sempit.
Demikian pandangan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff susulan kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertikai kajian cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dilakukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau yang juga peguam, berkata UIAM antara institusi pengajian tinggi paling global dalam negara dengan lebih 120,000 alumni dari lebih 140 negara yang kini berkhidmat sebagai pemimpin dalam kerajaan, diplomasi, undang-undang, akademia dan sektor korporat di seluruh dunia.ed. This is where the substance of your article begins to take shape.
Tegasnya lagi, kedudukan antarabangsa serta kekuatan multidisiplin ini menjadikannya amat sesuai sebagai pusat penyelidikan berkaitan tadbir urus dan institusi awam.
“Menghormati institusi ilmu seperti UIAM bererti menghormati tradisi universiti sebagai antara tapak kelahiran tamadun manusia moden, satu peranan yang sepatutnya menyatukan, bukan memecah-belahkan.
“Dalam mana-mana masyarakat matang, dasar awam mesti berteraskan hujah berasaskan bukti, ia dipandu oleh penyelidikan, data dan analisis yang kukuh.
“Bukan sentimen atau retorik politik jangka pendek. Universiti seharusnya dihormati sebagai rakan intelektual dalam pembangunan negara, bukan ditarik ke dalam polemik politik yang sempit,” katanya dalam satu kenyataan.
Takiyuddin dalam satu sidang media di Parlimen pada Khamis, berkata pihaknya ingin tahu atas dasar apa UIAM dipilih dalam pelaksanaan kajian itu sedangkan terdapat universiti lain yang mempunyai lebih kepakaran bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempersoalkan kredibiliti UIAM, sebaliknya hanya ingin tahu sebab pemilihan institusi pengajian tinggi (IPT) itu.
Yusmadi dalam kenyataannya turut menambah, sejak muncul pusat ilmu terawal di Baghdad, Cordoba dan pelbagai tamadun lain, universiti secara sejarahnya berperanan sebagai ruang intelektual yang melahirkan idea dan kerangka tadbir urus moden.
“Penyelidikan mengenai peranan Datuk Bandar bagi sebuah kota kompleks seperti Kuala Lumpur memerlukan pendekatan yang rapi, merentas disiplin dan berasaskan perbandingan global.
“Ia membabitkan undang-undang, dasar awam, kelestarian, pembangunan bandar dan keharmonian sosial. Inilah bidang semula jadi institusi akademik,” katanya.


Leave a Reply